Friday, May 25, 2018

Puisi Padang


Saya sekali lagi berlibur ke Indonesia, kali ini Padang dan Bukit Tinggi, Sumatera Barat. Sekali lagi? Ya,  sekali lagi sebab saya baru saja melawat Jogjakarta,  pada akhir tahun lepas. Belum pun sampai enam bulan.

Saya suka melihat Indonesia. Negerinya besar dan berbagai. Kos kembara sangat berpatutan, makanannya sedap, bahasa pun hampir sama, dan tukaran Ringgit yang lumayan membuat kita terasa seperti seorang jutawan. Bila berbicara dengan orang Indonesia, kita akan terpegun dengan nada dan lenggok bahasanya yang sangat halus dan kemas. Setiap orang Indonesia boleh menjadi ahli politik. Saya pernah ke rumah sahabat karib yang mempunyai seorang bibik dari Surabaya, saya dapati bibik itu jauh lebih bagus kawalan bahasanya berbanding dengan sahabat saya.   

Sebenarnya ini kali pertama saya menulis blog dalam bahasa ibunda. Mungkin bukan bahasa ibunda pun. Bahasa ibunda saya ialah bahasa Kelantan, bahasa yang paling romantis di dunia. Bahasa Melayu adalah bahasa kedua saya. Mungkin tuan-tuan sudah terasa kejanggalan cara saya menulis, kerana salah atau kurang tepat di segi nahu dan sebagainya. Tapi selagi tuan-tuan boleh memahami apa yang saya ingin sampaikan, saya rasa saya sudah berjaya menulis dengan baik.

Saya selalu menulis dalam English. Bukan bermakna English saya bagus sangat dan tentunya bukan saya mahu mendewa-dewakan bahasa asing. Cuma English lebih kaya perbendaharaan katanya. Terdapat 170,000 perkataan English dalam Oxford English Dictionary. Untuk mencarut sahaja terdapat berbagai perkataan, rangkaikata dan peribahasa yang boleh saya pilih dengan impaknya yang berlainan juga. Mengikut guru bahasa Melayu saya dulu, perkataan Melayu yang asal cuma tiga: besi, padi, dan babi. Tetapi ada guru lain yang kata empat: besi, padi, babi, ubi. Bagaimana mungkin saya menulis dengan tiga atau empat perkataan? Hahaha. 

Bila saya mula menulis tadi pun saya termangu buat seketika. Apa harus saya panggil atau bahasakan diri saya? Saya, aku, ana? "Saya" agak formal dan terasa seperti di bangku sekolah. "Aku" pula lebih personal dan mungkin agak puitis, mungkin kasar juga. "Ana" bahasa Arab, nanti saya dikecam sebagai wahabbi.  Kalau English lebih mudah, "I" saja sudah mencukupi. Untuk lebih selamat, saya guna "saya". Lagipun saya sudah lebih 35 tahun menggunakan "saya" bila berhubung dengan isteri, di waktu siang dan juga malam.   

Berbalik kepada Indonesia. Saya ke Padang dan Bukit Tinggi selama empat hari pada bulan lepas (April). Saya bukan berseorangan, tetapi bersama enambelas ahli keluarga - isteri, anak, adik-adik ipar, dan anak-anak saudara. Agak letih juga saya kerana empat orang adik ipar perempuan dewasa yang ikut sama boleh tiba-tiba saja hilang entah kemana. Kemudian mereka akan muncul kembali sebaik saja supir menaiki bas. Mungkin mereka ni ada deria keenam atau ilmu ghaib yang boleh membaca pergerakan pak supir tu. Lawatan ini merupakan pengalaman yang penuh aksi (action-packed) dan tidak  mudah saya lupakan.

Kali in saya tidak akan menulis dan menceritakan perihal tempat-tempat yang kami lawati di Padang dan Bukit Tinggi. Tuan-tuan boleh baca dalam blog-blog lain atau Wikipedia atau mendengar terus dari kawan-kawan yang telah ke sana atau tuan- tuan boleh saja menonton sinetron. Saya cuma ingin meluahkan apa yang saya rasakan dan fikirkan semasa berada di sana, dalam tulisan yang berbentuk prosa dan juga puisi. Mungkin tuan-tuan tidak meminati sastera sebab sewaktu bersekolah dulu tuan-tuan berada di kelas sains tulin, tuan-tuan bolehlah memilih untuk tidak terus membaca blog ini. Tak apa-apa. Saya tenang saja.

Nama Padang sangat bermakna dan penuh nostalgia buat saya. Saya tidak pernah bercinta dengan orang Padang. Saya bercinta dengan orang Kg Pandan hahaha. Padang akan mengembalikan masa lampau saya. Masa saya bersekolah di darjah lima dan enam (tahun-tahun 60an) saya sangat meminati buku-buku Indonesia, terutamanya novel-novel yang ditulis oleh penulis-penulis agung Indonesia, antaranya ialah Hamka, Marah Rusli,  Sutan Takdir Alisjahbana, Abdul Moeis dan Mochtar Lubis. Mungkin nama-nama ni asing bagi tuan-tuan, seperti juga nama menteri-menteri kabinet Pakatan Harapan yang baru dilantik baru-baru ini.

Yang paling menyentuh perasaan ialah novel Tenggelamnya Kapal van der Wijck oleh Hamka dan Siti Nurbaya oleh Marah Rusli. Saya baca novel-novel epik ini berkali-kali. Hamka dilahirkan di Bukit Tinggi dan Marah Rusli di Padang.  Tidak hairanlah novel-novel ini bertemakan cinta dan pergeseran  di antara adat atau  tradisi Minangkabau dengan pemikiran moden dan progresif di daerah Padang dan Bukit Tinggi. Watak-watak utama seperti Siti Nurbaya, Datuk Maringgih, Hayati dan Zainuddin masih saya kenang sampai hari ini. Jalan ceritanya mungkin mudah dan klise, tetapi olahan, plot dan bahasanya sangat mengasyikkan. Anak-anak perempuan saya yang sudahpun tercandu dengan drama dan pop Korea yang panas, cerita klasik Indonesia sebegini mungkin hambar dan membosankan. Mereka ni memang tidak meminati novel-novel Melayu. Mereka lebih meminati Instagram.

Kami menyewa bas 25-bangku yang sangat selesa untuk sepanjang tempoh kembara kami. Perjalanan dari Padang ke Bukit Tinggi agak mencabar kerana jalannya yang sempit, mendaki dan berliku. Tetapi pemandangannya sungguh memukau. Pemandu pelancung kami (namanya Pak Unchu) tidak henti-henti menghiburkan kami dengan rentetan lawak jenaka. Kalau dia tidak berjenaka dia akan memainkan lagu evergreen Minang "Ayam Den Lapeh" berkali-kali. Dia kata ayam dalam lagu tu sebenarnya bukan ayam, tetapi simbolik atau metafora. Ayam tu mungkin cewek, cowok, isteri, suami atau apa saja yang boleh terlepas. Saya dah lebih 40 tahun dengar lagu ni, bagi saya ayam tetap ayam. Apa pun, saya rasa Pak Unchu mesti kemaskinikan sedikit lawak jenaka dengan bahan-bahan yang baru sebab banyak  lawaknya saya sudah dengar semasa saya masih bujang dulu. Kini saya telahpun mempunyai tiga orang cucu. Jangan marah Pak ya. Tenang saja.

Kami tempuhi bukit, lurah, tasik, sungai, air terjun, kebun buah dan puncak gunung. Adik ipar lelaki saya yang sangat mencintai alam dan pokok-pokok terus jatuh cinta  dengan daerah ini. Di sepanjang jalan terdapat sangat banyak masjid, surau, dan sekolah ugama, sesuai sekali dengan daerah yang dibangun dengan pegangan ugama yang sangat kuat. Saya dapat bayangkan Hayati dan Zainudin, watak utama dalam Tenggelamnya kapal van der Wijck,  juga pernah melalui jalan ini, walaupun mereka cuma dari khayalan Buya (Ayahanda) Hamka.

Saya sangat terpikat dengan nama-nama bandar dan perkampunagn di sini: Padang Panjang, Pagar Ruyung, Batu Sangkar, Tanah Datar, Puncak Lawang, Lembah Anai, Paya Kumbuh dan banyak lagi. Kami makan di rumah makan Lamun Ombak. Nama-nama gabungan dan bersajak begini lebih sejuk dan segar berbanding dengan nama-nama tempat di Malaysia yang kering dan kaku, seperti Gombak, Gebeng, USJ, dan restoran Kak Wok.  Ternyata orang di daerah Minagkabau ini memang seniman semulajadi yang kreatif dan sukakan ciri-ciri estetika (Betul ke bahasa Melayu saya ni? Bunyinya seperti iklan ubat pemutih muka hahaha).

Seperti yang dijanjikan saya tidak akan bercerita tentang tempat-tempat yang kami lawati, kecuali dua tempat, iaitu Rumah Gadang Istana Basa Pagar Ruyung dan Tasik Meninjau. Istana Pagar Ruyung yang terletak di bandar kecil Batu Sangkar ini wajib dilawati jika ke Bukit Tinggi. Inilah istana peninggalan kerajaan Minangkabau Pagar Ruyung yang telah lama terhapus di Sumatera Barat. Mengikut sejarah, kerajaan Negeri Sembilan hari ini juga berasal dari Pagar Ruyung, termasuklah adat dan loghatnya. Maaf, itu saja yang saya tahu. Kalau tuan-tuan ingin tahu lebih lanjut, boleh hubungi Pak Unchu. Tuan-tuan boleh minta koleksi lawak jenakanya sekali. Hahaha.

Saya rasa siapa saja arkitek dan penggemar senibina yang melihat Istana Pagar Ruyung ini pasti akan tertawan dengan keindahan, kegagahan dan kehalusan seninya. Keanggunannya bukan terletak pada rekabentuk luarannya sahaja, tetapi juga pada makna yang tersirat di setiap bahagian atau elemen istana ini: tingkap, kamar, bumbung, tirai dan sebagainya. Sebenarnya istana yang saya lihat itu bukanlah istana ysng asal, tetapi istana yang dibina semula dengan rekabentuk asal pada tahun 2008 . Istana yang asal telah dipanah petir dan terbakar hangus kesemuanya.




Tempat kedua ialah Tasik Meninjau. Kami singgah di sini dalam perjalanan pulang dari Bukit Tinggi ke Padang. Panorama tasik ini dari Puncak Lawang sangat menakjubkan. Di daerah inilah juga tempat kelahiran Alamarhum Hamka, dan saya terasa seolah-olah beliau ada bersama-sama kami hari itu. Udaranya sejuk, persekitarannya amat tenang dan bersih, jauh dari keributan kota. Fahamlah saya kenapa Buya Hamka sangat versatile, kreatif dan expressive. Beliau dibesarkan dalam persekitarannya yang amat subur dan merangsangkan. Beliau adalah pelajar, pengajar, penulis, ulama, pendakwah dan pemimpin agung yang disanjung bukan saja di Indonesia tetapi juga di Malaysia. Tafsir Al Quran Hamka masih menjadi bahan rujukan sehingga hari ini.




Perjalanan dari Tasik Meninjau ke Padang mengambil masa hampir empat jam merentasi Banjaran Bukit Barisan yang sangat scenic. Fikiran saya masih di awang-awangan, berlegar di sekitar manusia berjiwa besar, Buya Hamka. Saya rasa terpanggil, bahkan tercabar, untuk turut menulis dan menjadi kreatif seperti beliau. Semasa saya di sekolah menengah saya pernah juga menulis puisi, semua berbentuk lantang, sosialis dan marah-marah. Mungkin sekarang masanya untuk menghidupkan kembali api yang terpadam selama hampir 50 tahun.

Saya bergegas membuka Samsung Note saya dan mula melakar puisi tentang perjalanan dan pengalaman singkat saya di Bukit Tinggi. Ahli keluarga yang lain leka menonton DVD filem "Tenggelamnya Kapal van der Wijck", diselangi oleh Pak Unchu dengan cerita dan jenaka dan disambut dengan hilai ketawa adik-adik ipar saya. Tetapi saya sebenarnya tidak mendengar apa-apa kerana dihanyutkan oleh cita-cita dan semangat baru yang meluap-luap untuk menulis dan berkarya. Hahaha

Hampir tiga jam saya memikir, memilih, mencari dan menggapai ilham. Saya menulis, memadam dan menulis lagi untuk dijadikan satu rangkaian puisi yang saya yakin tidak akan mengecewakan  Hamka jika beliau membacanya. Inilah hasilnya, puisi saya tulis di daerah kelahiran Almarhum:                                      
  
   
Puisi Padang 1

Apakah yang kucari
di antara batu dan bukit ini
lurah pecah dan liku seribu
kebun subur dan air dingin
tasik luas dan sungai deras.

Kususuri daerah lama ini
mengimbau lipatan sejarah
melihat pustaka silam
merungkai hasrat yang tersimpan
bukit tinggi padang panjang
pagar ruyung batu sangkar
seri menanti datuk tampin
kuala pilah kampung pandan.

Melewati rumah gadang
dan istana gagah
terhenti di tengah langkah
terdetik di puncak hati.
bagaimana akan aku maknakan
beratus isyarat dan aturan ini
bumbung tirus dan anjung lurus
tiang tegap tapi miring
tingkap lebar menyambut angin
tirai tujuh dan ruang sembilan
kamar sempit mengurung perawan.

Rapuh hidup ini
kuat dan kuasa hanya
singkat dan sementara
akhirnya kalah, rebah dan sepi
dilanda arus waktu
dan kudrat alam.


Baca sekali lagi rangkap terakhir. Ianya tercetus dari keinsafan diri bila melihat footage Istana Pagar Ruyung yang terbakar dan mengenang keruntuhan kerajaan Minangkabau setelah sekian lama berkuasa. Jujur saya katakan sewaktu menulis terlintas juga di fikiran saya tentang kerajaan Melayu di Malaysia yang sekian lama berkuasa. Saya tulis puisi ini pada 24 April. Pada malam 9 Mei, dua minggu kemudian, kerajaan Malaysia tewas, lantas hilang semua kuasanya.

Saya rasa saya tidak mengecewakan Almarhum Hamka.


Kami tiba di kota Padang waktu senja. Padang adalah daerah Siti Nurbaya, watak utama dalam novel Marah Rusli. Namanya telah menjadi seakan lagenda di sini, dan telahpun diabadikan. Sebuah jambatan panjang di muara sungai kini diberi nama Jambatan Siti Nurbaya. Kami lewati jambatan ini sebelum ke hotel. Tergamam juga saya melihat jambatan ini, dan sempat saya coretkan satu lagi puisi yang akan saya sempurnakan bila balik ke Malaysia nanti.


Cerita Siti Nurbaya berkisar kepada cinta di antara Siti Nurbaya dan Samsul Bahri, namun tidak kesampaian bila Siti Nurbaya dikahwinkan dengan seorang tua yang kaya bernama Datuk Maringgih sebagai menebus hutang ayahnya. Siti Nurbaya kemudian dibunuh oleh Datuk Meringgih. Samsul Bahri amat kecewa dan ingin membunuh dirinya sendiri tetapi tidak berjaya. Saya telah gambarkan karya sastera epik ini dalam bentuk puisi:

Puisi Padang II

Kulalaui jambatan panjang di muara
antara kelam dan bening malam
seakan tersentuh selendangmu, nurbaya
samar, jauh namun pasti
seperti kautau aku akan ke sini.

Cerita lara
dan cinta yang meronta
tidak akan terhenti
walau sekurun lagi.

Dengan apakah harus kubandingkan
pengorbanan yang sebegini
hati yang terlerai
rindu yang meruntun
kasih yang dipinggir
oleh jiwa yang dipaksa menyerah.

Biar kuakhiri saja hayatku ini
selamat tinggal segalanya
dunia yang sekejam ini
bukan tempat buatku lagi.

Tuhanku
apakah yang kulakukan ini
menafikan rencana dan urusan mu?
berikan aku keluasan
untuk diam, berfikir dan mencari
jalan pulang
dari kegelapan ini.

Subang Jaya
3 May 2018.














No comments:

Post a Comment